Menabung Sebelum “Terlalu Lewat”


Sumber: Utusan 1/1/2012

Menabung sebelum ‘terlalu lewat’

KETIKA berusia 33 tahun, anda merasakan dunia ini milik anda. Atau mungkin tidak.

Anda berasa seolah-olah berada di persada kehidupan. Apa tidaknya? Anda kini pada usia di mana anda bebas memilih bagaimana untuk membelanjakan duit, membeli segala yang diingini dan menelusuri apa jua gaya hidup yang terlintas di fikiran.

Anda telah pun memiliki kereta idaman, rumah impian dan baru saja mendirikan singgahsana dengan gadis tercinta. Anda juga baru saja kembali daripada berbulan madu di Bali.

Bila terasa ingin berlibur dan bersantai bersama teman-teman, anda boleh saja ke kafe paling trendy dan makan malam di restoran mewah. Merancang untuk melancong ke luar negara adalah satu kebiasaan kerana apalah erti hidup kalau tidak dinikmati.

Anda berasa sungguh bahagia di saat ini, tiada apa yang merisaukan hati. Anda masih lagi muda dan banyak detik kebahagiaan yang menanti. Anda sewajarnya berhak untuk menikmati segala pendapatan yang diperolehi. Jadi anda beranggapan ‘belanja dulu, simpan kemudian’. Tapi anda tak tahu ‘kemudian’ itu mungkin menjadi terlalu lewat satu hari nanti.

Muda dan bijaksana

Inilah situasi yang menjadi lumrah hidup. Ketika sibuk memenuhi segala komitmen, menyimpan untuk persaraan adalah perkara paling bawah sekali. Bukan anda seorang saja yang menghadapi situasi begini. Dalam kajian terkini, lebih daripada separuh pekerja di Malaysia tidak bersedia untuk bersara sementara mereka yang bersedia, hanya mula merancang selepas usia 40 tahun.

Dalam kita menyusuri liku-liku kehidupan ini, ada baiknya kita jadikan sabda junjungan sebagai pedoman, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.”

(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Justeru, lebih baik lewat daripada tak ada langsung. Memulakannya seawal mungkin memberikan perbezaan yang ketara terhadap dana persaraan anda. Berikut ialah kisah rekaan bagaimana dua orang sahabat yang baru tamat belajar, membuat keputusan kewangan yang berbeza, menjalani kehidupan mereka.

Kelebihan anda: Potensi pulangan pelaburan yang lumayan

Mat dan Ibrahim tamat universiti ketika berusia 22 tahun. Kedua-duanya memulakan kerjaya mereka dan memperolehi pendapatan RM 40,000 setahun. Mat amat memahami betapa pentingnya untuk menyimpan sejak muda dan melabur RM250 sebulan untuk pelan persaraan yang berpotensi meraih kadar pulangan 5 peratus purata setahun sebaik sahaja mula bekerja. Sebelas tahun berlalu, Mat menamatkan sumbangan persaraannya kerana beliau telah membina jumlah terkumpul sebanyak RM78,501.89. Simpanan ini mencukupi untuk berpotensi berkembang sekitar atau sekurang-kurangnya RM400,000 ketika bersara. Tambahan RM250 kini boleh disalurkan untuk membantunya mencapai perancangan yang lain seperti membeli rumah, menambah simpanan lain atau untuk dana pendidikan anak-anaknya.

Sebaliknya, Ibrahim yang tidak begitu peka dengan keperluan telah menangguhkan simpanan persaraan sehingga 10 tahun kemudian. Beliau juga sebenarnya boleh menyimpan RM250 sebulan, tapi kini terpaksa meneruskan simpanan sehinggalah bersara untuk mencapai matlamatnya.

Apakah perbezaan dalam jumlah persaraan mereka? Mat yang menyumbang RM33,000 dan berpotensi memiliki sejumlah RM 387,532.06 pada usia 65 tahun. Ibrahim pula yang menyumbang RM66,000 atau lebih, berpotensi untuk memiliki jumlah yang lebih rendah iaitu RM251,349.65. Senario ini membuktikan kenapa anda perlu mula menyimpan seawal mungkin untuk persaraan. Memang benarlah kata-kata pujangga lama, “sikit-skit, lama-lama jadi bukit”. Lebih panjang jarak masa yang kita miliki, lebih sedikit sumbangan kita untuk mencapai amaun terkumpul (dengan andaian kadar pulangan adalah sama keseluruhannya).

Prinsipnya tetap sama. Bayar untuk diri anda terlebih dahulu. Hanya dengan satu langkah menyimpan sebahagian kecil daripada pendapatan untuk persaraan boleh memberikan perbezaan yang ketara. Dengan perancangan yang baik seawal mungkin, anda pasti dapat menghadapi persaraan dengan penuh keyakinan dan kenikmatan.

___________________________________________________________

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s